expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, January 14, 2011

Pujukan Abu Sufian supaya tidak berperang

PERSIAPAN di pihak Islam ketika Perang Badar bukanlah untuk berperang. Kerana itu jumlah anggotanya tidak ramai berbanding persiapan oleh pihak Quraisy.

Malah mereka turut membawa kaum wanita untuk turut sama keluar memberi semangat dan menyajikan hiburan.

Namun Nabi Muhammad segera menyiap dan memperkemaskan barisan tentera yang ada setelah Allah SWT memberitahu mengenai kemaraan tentera dari Mekah.

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Seperti orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia daripada jalan Allah dan ingatlah. (al-Anfal: 47).

Rasulullah dan bala tentera yang baginda pimpin pun bergerak, berjalan sehingga mereka sampai di kawasan yang dikenali sebagai Al Udwatil Dunya di bahagian utara lalu mereka berhenti dan mendirikan khemah di situ.

Sementara tentera Mekah yang bergerak juga berhenti dan berkhemah di Al Udwatul Quswa di sebelah selatan.

Walau bagaimanapun kedua-dua belah pihak tidak mengetahui kedudukan pihak musuh antara satu sama lain.

Namun apakah yang terjadi kepada rombongan atau kafilah dagang yang diketuai oleh Abu Sufian bin Harb? Adakah rombongan berjaya diserang oleh pihak Islam atau bergabung dengan tentera Mekah untuk sama-sama bertempur memerangi pasukan Nabi Muhammad di medan perang?

Sebagai salah seorang pembesar Quraisy yang terkemuka, Abu Sufian turut cekap mengatur strategi dalam situasi yang sukar.

Walaupun bantuan tentera bakal menyusul, namun Abu Sufian dikatakan berjaya membawa seluruh ahli rombongannya melalui jalan-jalan rahsia. Ia berjaya mengelak daripada bertembung dan menjadi sasaran serangan pihak Islam.

Mungkin perjalanan yang ditempuh lebih sukar daripada biasa kerana terpaksa melalui jalan di antara celah-celah lembah bukit-bukit, sehinggalah meredah laluan di tepi pantai Laut Merah dan kembali semula ke laluan menuju Mekah.

Akhirnya rombongan itu selamat sampai ke Mekah tanpa sebarang masalah. Sebaik sahaja selamat sampai, Abu Sufian segera menghantar wakil memberitahu tentera Quraisy bahawa mereka berjaya mengelak daripada menjadi sasaran serangan dan mereka tidak perlu lagi meneruskan rancangan untuk bertempur dengan tentera Islam.

"Sesungguhnya kamu keluar hanya untuk menyelamatkan angkatan perdagangan kamu, anggota-anggota dan harta benda kamu. Tuhan telah menyelamatkan kami. Oleh kerana itu, pulanglah semula (ke Mekah).

"Untuk apa lagi kita keluar berperang. Apatah lagi orang yang kita perangi adalah kalangan saudara mara kita sendiri," demikian antara isi kandungan surat daripada Abu Sufian yang dikirimkan kepada ketua tentera Musyrikin Mekah, Abu Jahal.

Ini menyebabkan ada antara anggota tentera Musyrikin itu yang hendak menarik diri daripada meneruskan peperangan antara kedua-dua belah pihak.

Tentu sahaja Abu Jahal tidak setuju membatalkan misi ketenteraan itu yang kemenangan di pihak Quraisy akan melonjakkan lagi nama beliau di kalangan orang

Arab sekali gus bakal dilantik menjadi pemimpin utama di Mekah.

Dia mahu supaya peperangan diteruskan lalu dengan sombongnya dia berkata:

"Demi Tuhan, kita tidak akan pulang melainkan setelah kita sampai ke Badar. Di situ kita akan berkhemah dan menetap selama tiga hari dan menyembelih unta.

"Kita akan bebas bersuka ria sambil makan-makan, minum arak dan berhibur tari menari dan menyanyi dengan para biduanita yang telah kita bawa bersama ini.

"Biarkan semua orang Arab mendengar mengenai pergerakan dan pesta suka ria kita itu, pasti mereka akan gerun terhadap kekuatan dan semangat juang yang kita miliki."

Namun begitu, seramai 300 anggota tentera Musyrik tetap dengan keputusan mereka untuk menarik diri. Ini menyebabkan jumlah tentera telah berkurangan menjadi 1,000 orang sahaja yang berjaya dipujuk oleh Abu Jahal untuk meneruskan misi dengan menjanjikan pelbagai habuan jika mereka terus bersama-sama dengannya.

Ini menjadikan suasana semakin genting, hanya menunggu retak menjadi belah. Melalui risikan-risikan yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak memang ternyata tidak ada caranya bagi mengelakkan berlaku peperangan.

Peperangan yang pertama kali berlaku dalam sejarah antara Musyrik dan Islam, pasti akan meletus juga.

Ini menyebabkan di pihak tentera Islam, baginda perlu mengatur strategi yang rapi namun yang menariknya tidak perlu ditanggung oleh baginda seorang diri.

Sebagai seorang yang sangat demokratik, baginda mendengar pendapat, cadangan dan buah fikiran di kalangan anak-anak buahnya.

Di samping itu baginda bersama angkatan Islam juga beroleh semangat dan kekuatan rohani dengan turunnya ayat-ayat al Quran.

Antaranya, ayat Allah yang memberikan semangat yang tinggi kepada pasukan Islam: Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu (Pelindung), dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (al-Anfal: 64-65) -Sumber Arkib Utusan Malaysia Online

1 comment:

  1. ,=====,o00o Ponn..Ponn.Ponn..
    //__l_l_,\____\,__
    l_---\_l__l---[]lllllll[]
    _(o)_)__(o)_)--o-)_)___
    ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
    Selamat Tahun Baru Dengan Azam Baru
    http://firestartingautomobil.blogspot.com/
    http://bukandoktorveterinar.blogspot.com/
    ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
    Assalamualaikum... Maaf lama kami tak ziarah blog kamu..


    kisah dan tauladan niiii....

    ReplyDelete